Nahas Helikopter : Mayat wanita ditemui berhampiran lokasi



Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mengesahkan tentang penemuan mayat seorang wanita berdekatan lokasi serpihan helikopter ditemui.

Walau bagaimanapun, Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohamad menafikan maklumat dua mayat ditemui setakat ini seperti yang tersebar di media sosial.

“Setiap minit kami akan berhubung dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan setakat ini pasti hanya satu mayat wanita yang ditemui.

“Ada maklumat yang menjadi viral di media sosial yang mengatakan ada dua mayat ditemui. Itu tidak benar,” katanya dipetik melalui Buletin Awani, sebentar tadi.

Menurutnya lagi, mayat wanita itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari tadi di tebing hulu 15 kilometer Sungai Batang Lupar.

Pencarian mangsa lain pula adalah tertumpu pada radius empat kilometer daripada mayat mangsa pertama ditemui.

“Ketika ini kita dalam proses utk membawa balik mayat ke jeti untuk pengesahan polis dan hospital. Mayat wanita itu kita jumpa tersangkut di tebing sungai,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pasukan SAR telah menemui serpihan pesawat dipercayai milik helicopter Eurocopter AS350 di kawasan bersebelahan Sungai Batang Lupar pagi tadi.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu telah berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching dan telah terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Helikopter tersebut membawa enam orang termasuk juruterbangnya itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suami, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi kepada Datuk Noriah, Ahmad Sobri.

Dilaporkan pesawat itu diterbangkan oleh juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas.