Nahas Helikopter: Gambar anggota SAR menyelam dalam sungai banyak buaya jadi viral



Usaha mencari mangsa nahas helikopter yang terhempas baru-baru ini perlu diakui bahawa ia bukan satu tugas mudah bagi pasukan polis dan pasukan keselamatan lain dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terkorban. Namun demi tangungjawab kepada keluarga mangsa, tugas itu tetap digalas dengan penuh kesungguhan.

Beberapa gambar yang menunjukkan kru dari Pangkalan Polis Marin di Bintawa, Kuching menyelam di Sungai Batang Lupar yang keruh dan dikatakan paling banyak buaya telah menjadi ‘viral’ di media sosial sejak semalam.

Berdasarkan gambar yang dikongsi, anggota polis terbabit kelihatan berenang di dalam sungai tersebut sambil memegang satu mayat mangsa nahas helikopter jenis Eurocopter AS350 di Batang Lupar pada Khamis lalu.

Memetik laporan media, anggota terbabit, Shahrudin Ahmad, 39, menyifatkan tindakan yang dilakukan beliau dan pasukan menyelamat lain adalah sebahagian daripada tugas dalam memastikan semua mangsa yang hilang berjaya ditemui seberapa segera mungkin.

"Saya melakukannya sebagai sebahagian daripada tugas saya dan saya mahu kesengsaraan ahli keluarga mangsa yang terpaksa menunggu jawapan tentang kehilangan mangsa berakhir,” kata Shah.

Shah yang bertugas di Pangkalan Polis Marin memberitahu bahawa beliau telah menerima arahan daripada pegawai yang bertugas untuk turun ke dalam sungai sambil badannya diikat pada tali.

"Mayat mangsa kelima itu telah terperangkap di antara dahan pokok dan saya terpaksa berjuang untuk ke sana.

"Saya mengambil masa kira-kira lima minit untuk berenang melawan arus yang kuat sebelum saya dapat mengheret mangsa keluar dari lokasi," katanya .

"Saya tidak mahu disanjung dan dipuji oleh semua orang kerana ia adalah tugas saya. Sebaliknya, agensi yang terlibat dalam misi menyelamatlah yang harus dipuji kerana kerja keras mereka," tambahnya yang menyifatkan misi ini adalah paling mencabar sejak beliau berkhidmat selama 14 tahun.

Sehingga hari ini, lima mayat mangsa nahas telah ditemui termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Tuan Asmuni Abdullah.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa terakhir, juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas masih lagi diteruskan.