Memandu atau menunggang tanpa lesen akan terus didakwa di Mahkamah mulai kini



Sesiapa yang memandu atau menunggang atas kesalahan tiada lesen, mereka tidak akan disaman lagi seperti sebelum ini sebaliknya akan terus didakwa di mahkamah kerana pihak polis tidak akan berkompromi lagi.

Menurut laporan juga, undang-undang tersebut telah dikuatkuasakan sejak pertengahan bulan April lepas. Tindakan ini diambil berikutan peningkatan kes memandu dan menunggang tanpa lesen sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehingga kini, pihak polis telah menahan lebih daripada 630,000 pemandu atau penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah sejak tahun 2014 dan 2015. Dan ia dikatakan sebagai penyumbang utama peningkatan kemalangan jalan raya pada setiap tahun.

Mereka yang ditahan dan didapati bersalah memandu tanpa lesen bakal berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan.

Bagi mereka yang memandu tanpa perlindungan insurans pula boleh didakwa di bawah Seksyen 90 yang dikenakan denda sehingga RM2,000 atau tiga bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Trafik Persekutuan SAC Mahamad Akhir Darus berkata, penguatkuasaan ini dibuat bagi mendidik pemandu dan penunggang ini tentang bahayanya memandu/menunggang tanpa lesen yang sah.

“Mereka yang memandu atau menunggang tanpa lesen ini tidak menjalani ujian atau latihan memandu secara formal. Maka mereka juga tidak tahu undang-undang trafik, tanda jalan atau pemanduan defensi.”

“Justeru, mereka bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah pengguna jalan raya yang lain. Penguatkuasaan ini bukanlah mahu membebankan mereka atau mengutip keuntungan. Tetapi kita mahu mendidik. Pasukan polis merupakan agensi penguatkuasaan dan bukannya untuk mengaut keuntungan," ujarnya.