Mayat wanita sah Noriah Kasnon



Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Abidin Supardi, 57, mengesahkan mayat yang dijumpai siang tadi merupakan mayat pertama mangsa nahas helikopter iaitu Datuk Noriah Kasnon.

Memetik laporan media, Abidin berkata, mayat tersebut dikenal pasti menerusi pakaian dan barang kemas yang dipakai Noriah.

"Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah melihat mayat itu dan memang betul itu mayat Datuk Noriah.

"Saya sangat bersimpati dengan apa yang telah berlaku. Anak-anaknya masih belum melihat jenazah ibu mereka," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Semalam, helikopter yang membawa Noriah dan suaminya, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.

Penumpang lain yang berada di dalam helikopter terbabit ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.