Mayat kedua nahas helikopter ditemui



Mayat kedua nahas helikopter ditemui pagi ini kira-kira 15km daripada tempat mayat pertama dijumpai semalam di tebing Sungai Batang Lupar.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof memberitahu mayat lelaki itu telah ditemui kira-kira jam 8.30 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat itu ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira 10km daripada Pusat SAR Lingga, 49km dari bandar Sri Aman.

"Mayat mangsa telah dibawa menggunakan helikopter da dihantar ke Hospital Umum Sarawak, Kuching," kata Abdul Aziz kepada pemberita di pusat SAR berkenaan.

Semalam, beberapa serpihan pesawat itu telah ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau.

Operasi SAR bermula seawal 7.30 pagi tadi dengan kekuatan empat buah bot bomba bergerak daripada pusat SAR itu, melakukan rondaan di sepanjang perairan Batang Lupar.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut disertai enam bot Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), dua bot tentera dan sebuah bot polis.

Setakat 10 pagi tadi, sejumlah 175 anggota SAR daripada pelbagai agensi seperti polis, bomba, JPAM dan tentera terlibat dalam operasi itu.