Maut kereta golf masuk parit



Seorang pemain golf maut apabila kereta golf yang dinaiki terbalik ke dalam parit di Kelab Golf Port Dickson di sini, petang tadi.

Mangsa, Abdul Ghafar Mohamad Ali, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson selepas kejadian, 5 petang tadi.

Menurut maklumat, mangsa dijumpai oleh rakannya sebelum meminta pertolongan orang lain yang berada di sekitar kawasan itu.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia nampak kereta golf yang dinaiki Abd Ghafar di dalam parit lalu cuba menariknya keluar.

[Disyorkan : Tarik kereta, jumpa mayat]

"Selepas lima minit baru kereta golf itu dapat diangkat dan mangsa ditarik keluar dalam keadaan berselut.

"Dikatakan kepala mangsa terbenam dalam lumpur sedalam satu meter. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson namun pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Zainudin Ahmad berkata, pihak polis ada menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

"Mayat dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa," katanya.