Liow Tiong Lai ugut letak jawatan, jika Hudud diluluskan Najib



Walaupun Perdana Menteri sudah menjelaskan bahawa usul persendirian Presiden PAS di Dewan Rakyat pada Khamis lalu bukan Hudud, namun Presiden MCA masih kekal pendiriannya untuk tidak setuju dengan usul itu.

Setelah merungut dan membantah, Datuk Seri Liow Tiong Lai nampaknya mengambil langkah selanjutnya apabila memberitahu media pada Sabtu bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Dia nekad akan melakukannya jika usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 itu berjaya diluluskan oleh Parlimen dengan undi oleh majoriti Ahli Dewan Rakyat sendiri.

Usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu telah diluluskan untuk dibahaskan di Parlimen setelah dibentangkan pada petang Khamis lalu dengan dicadangkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

RUU itu kemudian disokong pula oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin. Namun usul tersebut yang dibantah keras wakil-wakil DAP hanya akan dibahaskan dalam sesi persidangan Parlimen pada Oktober depan.

Tiong Lai berkata beliau berhasrat untuk menyekat usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang itu daripada diluluskan, malah beliau turut menambah, jika tidak berjaya beliau sedia berkorban dengan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Namun katanya yang juga Ahli Parlimen Bentong, MCA akan kekal sebagai parti dalam komponen BN. Kata Tiong Lai lagi, keputusanya itu adalah bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena dengan MCA secara keseluruhan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjelaskan pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang Jumaat bahawa telah timbul salah faham besar mengenai usul RUU berkenaan.

Katanya usul tersebut sebenarnya adalah untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukan pun undang-undang Hudud seperti yang dimomokkan oleh banyak pihak selama ini.