Kumpulan kedua migran Syiria tiba di Malaysia



Kumpulan kedua 68 migran dari Syria telah pun tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini kira-kira jam 11.20 pagi tadi.

Mereka terdiri daripada 18 keluarga itu menaiki penerbangan AirAsia dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Ahmad Zahid berkata, kumpulan migran berkenaan akan ditempatkan sementara di Setia Alam dan akan diberi sijil perakuan cemas serta dokumen sementara untuk menetap di negara ini.

"Kita benarkan mereka dibawa masuk ke negara ini setelah melepasi saringan kesihatan dan keselamatan, selain berstatus golongan profesional termasuk doktor, pensyarah, jurutera dan profesor.

"Badan Bukan Kerajaan (NGO) dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan dan keperluan migran ini. Jika ada kekosongan, mereka akan ditempatkan di beberapa syarikat dan diberi visa pekerja.

"Jika ada yang masih belajar, kita akan berikan visa pelajar," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada Okotber tahun lalu telah mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Pada Disember lalu, sebanyak tiga buah keluarga yang terdiri daripada 11 orang menjadi kumpulan pertama pelarian tiba di negara ini.

Ahmad Zahid turut berkata, seramai 200 migran lagi dijangka dibawa masuk menerusi program sama bagi kumpulan ketiga dan keempat dalam tempoh terdekat.