Kerajaan Arab Saudi tak derma untuk cetus huru hara



Anggota keluarga Arab Saudi berkata kerajaannya tidak pernah menderma bagi mencetuskan huru-hara dan kecelaruan politik dalam mana-mana negara.

"Arab Saudi tidak pernah memberikan wang untuk menyusahkan parti politik semasa walaupun jika kita tidak bersetuju dengan mereka," kata Putera Sultan Abdulaziz yang merupakan anak Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Beliau ditemui semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini, sempena lawatan beliau ke negara ini dalam usaha mengeratkan kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Putera Sultan, yang kini menjawat kerusi Menteri Pelancongan Arab Saudi, berkata demikian sebagai menjawap soalan pemberian derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Putera Sultan menambah, beliau tidak boleh mengulas secara spesifik, dan tidak bercadang untuk melakukannya.

"Saya benar-benar tidak tahu perihal isu ini, bukan saya mahu mengelak tetapi saya benar-benar tidak tahu.

"Ini isu dalaman Malaysia, dan saya pasti anda akan selesaikannya."

Bagaimanapun, beliau sedar bahawa Arab Saudi merupakan antara penyumbang derma ekonomi terbesar dunia, selepas Amerka Syarikat (AS) dan kerajaannya selalu menyokong dari segi kewangan dalam pembangunan negara-negara Islam lain.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang turut bersama dalam majlis tersebut mencelah dengan berkata, adalah tidak menjadi kesalahan untuk menerima derma politik di Malaysia.

"Kita tahu semasa Pilihanraya pihak Amerika menyumbang kepada pembangkang menerusi Institut Republikan, menerusi Institut Demokratik. Sesuatu yang normal bagi kami," dakwa Nazri.

Pada majlis itu, kedua-dua menteri pelancongan itu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menambah baik secara bersama industri tersebut antara Malaysia dan Arab Saudi.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak telah mendakwa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau sebelum pilihan raya umum 2013 adalah derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pendedahan oleh Australian Broadcasting Corporation mengenai skandal itu turut melaporkan bahawa lebih AS$1 bilion telah masuk ke akaun Najib antara tahun 2011 hingga 2013.

Malah ia turut menyertakan surat dari putera Arab Saudi memperincikan hadiah AS$375 juta kepada Najib.