Kastam jalani latihan ala komando mulai Julai

Bermulai Julai ini, seramai 205 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menjalani latihan ala komando secara berperingkat di Ulu Kinta, Perak.



Penolong Ketua Pengarah Kastam, Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Zulkifli Yahya, berkata latihan pasukan taktikal senjata itu adalah sebahagian daripada usaha bagi melatih mereka menangani kes berprofil tinggi.

"Latihan itu akan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain dan akan menggunakan modul VAT 69 atau 69 Komando yang juga sebuah pasukan khusus multi spektrum bercorak ketenteraan atau separa tentera.

"Kita wujudkan Pasukan khas ini supaya dapat membantu anggota Kastam dalam menjalankan tugasan mereka yang sememangnya berisiko menerima pelbagai ugutan dan ancaman," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Program Dalam Radar di Bernama Radio24 hari ini.

Mengulas mengenai Ops Pacak atau operasi penyeludupan mercun yang dijalankan bersama agensi lain, beliau berkata pihaknya akan memastikan agar tiada mercun yang dibawa masuk secara haram ke negara ini menjelang musim perayaan Aidilfitri ini.

"Setakat ini, sebanyak 54 kes dengan nilai rampasan bernilai RM550,000 telah berjaya ditumpaskan oleh pihak Kastam," katanya.

Zulkifli turu tmemberitahu media, operasi yang dijalankan di seluruh negara itu turut memberi tumpuan terhadap kawasan 'panas' aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan boleh menghubungi JKDM di talian 1-800-88-8855.