JPAM atau APAM? Pertimbangkan nama yang lebih sesuai



Kerajaan akan pertimbangkan nama baru yang lebih sesuai berikutan penjenamaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berbanding nama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) yang dicadangkan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beberapa nama lain yang telah dicadangkan akan dibincangkan sebelum keputusan dibuat.

"Macam-macam cadangan nama yang dibuat, saya akan maklumkan semua cadangan nama yang disebutkan tetapi apa yang penting nama ini mestilah sesuai dengan perubahan baharu yang kita dibawa.

"Antara cadangan yang dikemukakan kepada saya ialah APM dan PERTAMA," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Pertahanan Awam (Pindaan) 2016 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu, pada sesi perbahasan RUU tersebut, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota Tinggi) berkata beliau tidak bersetuju dengan nama baharu itu dan meminta agar kerajaan menggunakan nama lain yang membawa konotasi lebih membina.

"Saya tidak menolak sepenuhnya cadangan nama baharu ini namun bagi saya nama yang lebih signifikan perlu digunakan supaya JPAM lebih dihormati," katanya.

Sementara itu, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pula bersetuju dengan nama APAM kerana ia mudah diingati.

Antara pindaan RUU tersebut adalah bagi menyediakan perlindungan hak pekerja untuk mana-mana sukarelawan atau anggota tambahan bagi pasukan itu yang tidak hadir daripada pekerjaan biasa beliau atas sebab menjalankan tugas yang berkaitan dengan pertahanan awam.

Ia turut memperuntukkan penubuhan Kor Kadet Pertahanan Awam bagi mana-mana kawasan di Malaysia, di mana pelajar sekolah menengah dan pelajar yang berdaftar bagi mana-mana institusi latihan atau pendidikan boleh memohon untuk menyertai kor kadet.

RUU itu kemudiannya diluluskan tanpa pindaan.