Ibu bersalin dalam van



Kerana tidak sempat ke hospital, seorang wanita terpaksa melahirkan anak ketiganya dalam van Perodua Rusa milik ibunya, semalam.

Asiah Nayan, 63, yang merupakan ibu kepada wanita itu berkata, anaknya, Khatijah Md Lazim, 30, ada mengadu sakit sewaktu bangun dari tidur.

“Sebelum kejadian, dia tinggal bersendirian di rumah dan saya pula keluar hantar cucu ke sekolah kemudian ke kebun untuk ambil hasil pisang.

“Bila sampai di kedai, ada jiran datang bagitahu Khatijah sakit nak bersalin. Sampai saja di rumah terus saya minta bantuan jiran untuk angkat dia ke van sebab dia tak mampu nak berjalan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berani untuk memandu terus ke hospital apabila melihat anaknya yang semakin pucat, lalu terus menghubungi ambulans dan menunggu bantuan daripada anggota perubatan tiba.

“Baru sekejap dia masuk dalam van, tak sampai 10 minit, tepat jam 12 tengah hari dia lahirkan anak lelaki. Pegawai perubatan kata memang dah tak boleh nak tunggu atau bawa dia ke hospital sebab kepala bayi dah keluar.

“Alhamdulillah, walaupun bersalin dalam van, semuanya berjalan lancar. Bayi dan ibunya selamat. Esok (hari ini) mungkin dia keluar hospital kalau tiada sebarang masalah,” katanya.

Apabila ditanya tentang nama cucu ketiganya itu, dia memberitahu mungkin akan menamakannya Mohd Isa sempena lahir dalam van Perodua Rusa.