Husam Musa dipecat dari PAS



Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa telah dipecat daripada menjadi ahli Pas berkuat kuasa 23 April lalu.

Dr Sanusi Daeng Mariok yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas berkata, Jawatankuasa Tatatertib Pas telah meneliti semua aduan salah laku terhadap Husam dan setelah mempertimbangkan kes dari setiap aspek, satu perbincangan telah diadakan di peringkat jawatankuasa pada 23 April lepas.

“Melalui perbincangan itu, Jawatankuasa Tatatertib Pas mendapati Husam telah melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan Pas.Oleh itu Jawatankuasa Tatatertib dengan sebulat suara bersetuju untuk memecat beliau daripada menjadi ahli Pas,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Husam Musa sebelum ini dilihat sangat lantang menyerang parti dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara Pas dan Umno.

Selain itu, Husam juga turut didakwa menyarankan Abdul Hadi agar memberi laluan kepada kepimpinan baru yang boleh membawa perubahan kepada parti Islam itu dan tanggungjawab yang digalas diganti dengan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.