Hentikan isu tajaan atau ambil tindakan lanjut



Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berhasrat untuk memanjangkan isu penolakan tajaan bernilai RM30 juta dari Syarikat D’Herbs, namun sekiranya syarikat terbabit berterusan mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej persatuan dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, KFA tidak teragak agak untuk mengambil tindakan lanjut.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, ketegasan ini dibuat susulan kenyataan media oleh pengasas D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, semalam.

"KFA ingin tegaskan bahawa penolakan tawaran tajaan tersebut adalah sesuatu amalan kebiasaan dalam sesuatu rundingan," katanya.

Menurutnya lagi, KFA berasa kesal dengan kenyataan tidak tepat yang dibuat oleh pihak D’Herbs dalam menangani isu tajaan ini.

Dalam satu sidang media yang dibuat Jumaat lepas, Pengasas D'Herbs Holding, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan yang mengatakan beliau ingin memiliki tanah di negeri Kedah sebagai syarat untuk menaja pasukan bola sepak negeri tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN : Datuk Aliff Syukri minta tunjukkan bukti]

Menurutnya, melalui perbincangan yang dibuat sebelum ini, pembangunan tanah tersebut telah dipersetujui dibuat melalui proses usahasama dengan anak syarikat negeri Kedah iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

"Tanah berkenaan merupakan tapak projek yang terbengkai sebelum ini dan hasil perbincangan telah bersetuju agar tanah berkenaan dibangunkan secara kerjasama dengan PKNK.

"Tiada istilah saya mahukan tanah itu secara percuma. Apa yang saya nak hanyalah untuk pelaburan. Kalau betul saya nak tanah, dengan RM30 juta saya boleh dapat tanah di Selangor," katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma D'Herbs Kota Damansara