Dituduh pengganas kerana buat soalan matematik



WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang profesor dituduh sebagai pengganas hanya kerana dia sedang menyelesaikan permasalahan matematik semalam.

Menurut laporan AFP, seorang penumpang wanita memberitahu kru penerbangan American Eagle bahawa ada seorang lelaki sedang menulis 'kod pelik' di buku nota.

Lelaki tersebut, Guido Menzio kemudiannya dibawa berjumpa dengan penyiasat dan diberitahu beliau disyaki 'pengganas'.

Disebabkan insiden tersebut, penerbangan telah tertangguh selama sejam.

Guido yang merupakan seorang profesor di Universiti Pennsylvania pernah memenangi medal Ahli Ekonomi Itali Terbaik.

Dalam emelnya, Guido mengatakan insiden tersebut adalah disebabkan sentimen anti-Islam dan anti-pendatang.

Kejadian serupa pernah berlaku di California bulan lepas apabila seorang pelajar telah dihalau dari pesawat kerana bercakap di telefon menggunakan bahasa Arab.