Dibunuh, dibungkus dengan pukat,kaki diikat batu bata



Seorang lelaki dipercayai telah dibunuh dan mayatnya ditemui dalam beg plastik hitam yang dibungkus dengan pukat berhampiran bot nelayan di jeti Kuala Muda, Penaga malam tadi.

Mayat lelaki itu ditemui pada jam 9.20 malam dengan tangan terikat oleh seorang nelayan yang sedang membersihkan botnya untuk keluar ke laut.

Kaki lelaki itu turut diikat dengan batu bata dipercayai untuk menenggelamkan mayatnya, namun kepala lelaki itu kelihatan di permukaan air.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersama mayat itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa telah dibuang di kawasan lain sebelum dibawa ombak dan hanyut sehingga Kuala Muda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi turut berkata, mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

“Mayat lelaki itu dalam keadaan lengkap dan polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui bila dan punca kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati penduduk di kawasan itu tidak mengenali lelaki berkenaan dan dia dipercayai orang luar.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga atau rakan agar menghubungi balai polis berhampiran.