Ujian demi ujian, Nurul dewasa sebelum usia



Ketika mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun lalu, usianya baru 14 tahun namun kematangannya sebagai wanita terserlah setelah dikurniakan dua anak.

Nurul Hafizan Mat Razali, 19, dari Kampung Aring 2, Gua Musang, menjadi wanita yang lebih berdikari apabila kemiskinan membelenggu keluarga kecilnya hingga memaksa suami, Muhammad Khairi Mat Zain, 23, bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur.

Dia juga diuji dengan keadaan anak kedua, Mohd Haiqal, setahun dua bulan yang menghidap penyakit bengkak hati ketika masih berusia dua bulan.

Semuanya terpaksa diharungi oleh Nurul dengan hati tabah, lebih-lebih lagi ketika ini apabila hanya menghuni sebuah pondok usang dan uzur ekoran rumah sebelum ini hanyut akibat banjir dua tahun lalu.

Nurul berkata, ujian demi ujian yang diturunkan Allah kepadanya mematangkan dia dalam hidup berumah tangga, sekali gus tidak menyesal menamatkan zaman bujang pada usia masih mentah.

“Selepas berkahwin, saya dan suami mengambil keputusan untuk hidup berasingan daripada keluarga kami untuk berdikari. Kami dikurniakan anak sulung, Fatira Aisya, 5, dan keadaan masih baik walaupun suami tiada kerja tetap ketika itu.

“Apabila banjir melanda, rumah dihuni hanyut dan ketika itu saya juga baru melahirkan Mohd Haiqal yang terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Krai hampir setiap bulan kerana penyakit hatinya.

“Ketika itu semuanya menjadi tidak tentu hala. Hanya pondok ini dibina ihsan penduduk kampung membolehkan kami berteduh.

“Suami pula sentiasa berusaha mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kecil kami sehinggalah dia diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Nurul Hafizan berkata, setiap ujian yang ditempuh mereka sekeluarga mematangkan diri dan dia bersyukur kesihatan anaknya juga semakin baik dan hanya perlu menjalani rawatan susulan.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya amat berharap agar ada insan prihatin yang boleh membina rumah baru untuknya sekeluarga menetap dengan lebih selesa.

“Sekarang memang tidak mampu bina rumah baru apatah lagi suami pun baru bekerja. Cuma pondok dinding zink ini sahaja tempat untuk berteduh,” katanya.