DBKL rampas 225 unit PPR,Perumahan Awam

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merampas 225 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) tahun ini. 225 unit rumah tersebut dirampas setelah penyewanya didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyewakan unit mereka kepada warga asing.

DBKL rampas 225 unit PPR,Perumahan Awam

Tindakan itu merupakan langkah tegas DBKL setelah pihaknya mengeluarkan sejumlah 582 notis rampasan kepada penyewa yang melanggar syarat dari Januari hingga 25 Mei lepas.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Mohamad memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan penyewa yang didapati melanggar syarat perumahan.

Katanya rampasan itu telah dibuat melalui enam siri operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Bersama Agensi Kerajaan.

Mohd Sauffi berkata selain menyewakan unit mereka kepada warga asing, sebilangan penyewa juga didapati tidak menjelaskan bayaran sewa kepada DBKL, tidak menghuni (dibiarkan kosong) dan menyewakan kepada penghuni tidak sah (sewa atas sewa).

"Lepas ini tiada lagi kompromi bagi penyewa yang didapati menyalahgunakan dan melanggar syarat perumahan ini kerana kita mahukan rumah ini dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar layak sahaja," tegasnya.

Beliau bercakap kepada pemberita semasa menyertai operasi bersepadu DBKL siri ketujuh bersama Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Perumahan Awam Desa Rejang malam tadi.

"Menerusi operasi malam ini, tiga unit rumah telah dirampas, manakala 26 unit atas kesalahan penghuni tidak sah dan 19 unit (penghuni tidak menetap) diberi notis 14 hari untuk mengosongkannya, sebelum unit mereka disita," katanya.

Berikutan kes yang semakin meningkat, Mohd Sauffi berkata DBKL dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan akan menjalankan operasi secara besar-besaran selepas Aidilfitri ini di seluruh PPR dan PA.

Dalam operasi yang sama, AADK turut menahan seorang penagih dadah dan suspek akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.