Datuk Aliff Syukri minta tunjukkan bukti



Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang merupakan pengasas D'Herbs Holding menggesa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menunjukkan bukti bahawa beliau ingin merampas tanah-tanah milik rakyat Kedah seperti yang didakwa.

Beliau turut menyifatkan dakwaan yang telah dibuat oleh Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah baru-baru ini sebagai satu penghinaan buat dirinya.

Aliff Syukri turut menafikan syarat untuk memiliki tanah di negeri Jelapang Padi itu adalah punca tawarannya untuk menjadi penaja pasukan bola sepak negeri tersebut ditolak.

"Tanah di Pokok Sena itu adalah merupakan tapak projek terbengkai sebelum ini sejak tahun 2008 dan hasil perbincangan selama dua bulan telah bersetuju agar tanah berkenaan dibangunkan secara kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

"Saya marah bila pada 4 May lepas, Presiden KFA melalui Facebooknya telah memberi alasan bahawa tawaran penajaan saya ditolak adalah demi memastikan hak rakyat negeri itu tidak tergadai.

"Tiada istilah saya mahukan tanah itu secara percuma. Apa yang saya nak hanyalah untuk pelaburan. Kalau betul saya nak tanah, dengan jumlah RM30 juta saya boleh dapat tanah di Selangor.," katanya dalam sidang media yang berlangsung di Wisma D'Herbs Kota Damansara di sini hari ini

Beliau berkata, pihaknya juga sanggup menawarkan wang bernilai RM100 juta sekiranya ada bukti sedemikian seperti dakwaan Menteri Besar Kedah tersebut.

Datuk Aliff Syukri juga mendakwa tiada sebarang sesi perbincangan yang diadakan sebelum KFA memuktamadkan keputusan penolakan penajaan.

Sebelum ini ada laporan yang mengatakan bahawa syarat D’Herbs Holding untuk mendapatkan tanah seluas 40 hektar di Pokok Sena menjadi alasan utama mengapa KFA sanggup berputih mata kehilangan tajaan RM30 juta.

Menurut laporan itu, permintaan untuk bekerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri bagi membangunkan bandar baharu yang akan dinamakan D’Herbs Terlajak Laris disifatkan tidak berbaloi dengan jumlah tajaan yang ditawarkan.