Banjir kilat di Putrajaya, PPj buat kajian menyeluruh



Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang menjalankan kajian menyeluruh untuk mengetahui kenapa dan bagaimana banjir kilat boleh berlaku di sekitar Putrajaya ekoran hujan lebat sejak 6 petang semalam.

Naib Presiden Perancangan Bandar PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata laporan penuh mengenai sistem perparitan serta saliran dan punca berlaku banjir akan diumumkan minggu ini.

"Pasukan khas perbadanan itu kini sedang menjalankan kajian dari segi teknikal untuk mengenal pasti kejadian banjir. Hasil kajian itu nanti akan diumumkan oleh Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail.

"Kita tunggulah laporan kajian itu yang akan dikeluarkan minggu ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing ikan Putrajaya 2016 di sisiran tasik Presint 4 di sini hari ini.

Fadlun berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir yang berlaku di sekitar Presint 3 dan Presint 4 di sini semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada banjir kilat yang berlaku semalam merupakan kejadian pertama di Putrajaya serta kawasan-kawasan yang dinaiki air.

Semalam, hujan lebat hampir dua jam yang bermula sejak 6 petang telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghala ke Dataran Gemilang, di Presint 3 dan Presint 4 di sini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya Muhamad Hafidz Yaacob dua buah kenderaan dilaporkan terperangkap dalam banjir kilat itu namun tiada mangsa dalam kenderaan tersebut.