Azmin ajak Pas kembali kepada DAP,PKR



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR, mengajak Pas untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi PRU14.

Beliau berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam, kerana itu jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

"Justeru, Parti Amanah Negara dan Pas haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama-sama sebagai satu pasukan bagi menghadapi PRU-14," katanya dalam kenyataan di sini.

Keputusan PRN Sarawak ke-11 yang berlangsung semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. Pas dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.

"Pencapaian kita mungkin lebih baik jika bersatu hati sejak awal lagi dan bekerjasama seperti kelaziman kita.

"Kita perlu akur yang rakan-rakan sekutu kita akan terus berbeza pendapat dalam isu tertentu pada masa hadapan namun keyakinan yang didorong semangat kebersamaan selama ini akan terus membantu kita melangkaui perbezaan ini," kata Azmin.

Pas sebelum ini membuat keputusan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin kanan Pas turut menubuhkan Pasti Amanah Negara dan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala Pas pula menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).