Anggota polis tumpangkan OKU dapat pujian KPN

Seorang anggota polis yang prihatin menumpangkan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) menaiki motosikalnya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, mendapat perhatian Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menerusi laman Twitter dan Facebooknya, Khalid memuji tindakan anggota polis berpangkat Koperal itu selepas gambarnya menumpangkan lelaki OKU yang cacat kedua belah kaki itu tersebar di media sosial dan mendapat perhatian positif netizen.

"Syabas Koperal Ropi dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal kerana membantu seorang lelaki kurang upaya membonceng motosikal beliau semasa sedang membuat rondaan. #PolisDanMasyarakatBerpisahTiada," tulis beliau dalam Facebooknya.

Selain itu, Khalid dilihat turut memuat naik tiga keping gambar Koperal Ropi bersama pemuda OKU berkenaan.

Difahamkan, Koperal Mohd Ropi Md Ali, 47, dari Balai Polis TTDI sedang melakukan tugas rondaan di kawasan berkenaan bersama seorang lagi rakan setugas sebelum ternampak seorang lelaki OKU sedang cuba melintas jalan dalam keadaan trafik sesak.

Rata-rata pengguna Facebook memuji tindakan murni Koperal Ropi itu yang dilihat sebagai satu sikap yang wajar dicontohi.

"PDRM tetap terbaik...Respek," kata Ragualramalingam Ragu a/l Ramalingam menerusi komennya.

Seorang lagi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Dz Dzul berkata, "Thanks IGP (Terima kasih KPN) kerana beri perhatian. Sikap begini yang amat diperlukan dalam pasukan PDRM. Syabas."

Anggota polis tumpangkan OKU dapat pujian KPN