Akibat selfie dengan gajah



Hasrat seorang doktor haiwan di sebuah zoo di Wonogirl, Jawa Tengah, Indonesia untuk berselfie bersama seekor gajah bertukar tragis apabila beliau maut apabila disondol dan dipijak haiwan berkenaan dalam kejadian di pusat perlindungan Gajah Mungkur, semalam.

Mangsa, Octavia Warahapsari, 25, maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan selepas diserang seekor gajah jantan yang dirawat di pusat perlindungan tersebut, lapor The Jakarta Post.

Pada hari kejadian,dimaklumkan Octavia bersama tiga pengendali gajah lain baharu selesai memberi makan dan memandikan satu pasangan gajah betina dan jantan, sebelum membawa gajah tersebut bersiar-siar disekitar pusat itu memandangkan pasangan haiwan itu baharu dipindahkan ke pusat perlindungan tersebut.

Mangsa kemudiannya dikatakan cuba merakam gambar selfie di hadapan gajah jantan tersebut dalam jarak sekitar satu meter.

Malangnya, gajah jantan itu yang dikenali sebagai Panamtu telah menanduk Octavia secara tiba-tiba menyebabkan dia terpelanting sejauh tiga meter, dan seorang pengendali gajah yang menunggang gajah tersebut turut terjatuh.

Walaupun pengendali gajah dan beberapa penjual makanan disitu cuba untuk membantu Octavia, namun haiwan berkenaan terus menyerang mangsa.

Octavia berjaya bangun dan cuba berlari untuk menyelamatkan diri, namun beliau terjatuh sebelum gajah jantan itu meluru kearahnya lalu memijaknya.

Sementara itu, menurut Ketua Agensi Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan, Senthot Sujarwoko, aktiviti membawa haiwan tersebut bersiar-siar bagi memperkenalkan persekitaran baharu telah dilakukan sejak beberapa bulan lepas.

"Saya tidak tahu apa yang menyebabkan kejadian itu boleh berlaku. Samada gajah tersebut terkejut dengan tindakan merakam gambar atau ada sebab lain, kami akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita.