Air Asia gantung laluan KL-Goa mulai Jun



AirAsia Bhd akan menggantung perkhidmatan penerbangan tiga kali seminggunya bagi laluan Kuala Lumpur-Goa (India), bermula 7 Jun, 2016.

Ketua Komersilsyarikat berkenaan, Spencer Lee berkata, ia merupakan sebahagian daripada insiatif bagi penyusunan semula laluannya.

"Disebalik pelarasan laluan ini, kami kekal komited dengan pasaran India dan berharap dapat kembali terbang ke Goa pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan penggantungan itu, syarikat penerbangan tambang rendah tersebut berkata mereka akan menawarkan tiga pilihan bagi pelanggan yang terbabit.

"Semua pelanggan boleh menjadualkan semula perjalanan mereka ke tarikh yang lebih awal sebelum penggantungan, bergantung kepada ketersediaan tempat duduk, atau memilih credit shell dengan tempoh sah 180 hari, atau pembayaran balik penuh," kata syarikat itu.

AirAsia berkata pihak syarikat akan memaklumkan kepada penumpang yang terlibat menerusi emel dan sistem pesanan ringkas. - Bernama