4 penyamun Kajang Putrajaya mati ditembak, seorang terlepas

Gambar: Sumber Harian Metro

Empat penjenayah yang dipercayai terbabit dalam jenayah samun di kawasan Sungai Sekamat ditembak mati oleh pihak polis pada jam 6.15 pagi tadi. Kumpulan tersebut juga dipercayai penyamun sama yang pernah memecah masuk beberapa rumah di Putrajaya baru-baru ini

Sebelum kejadian, dimaklumkan sekumpulan lima suspek terbabit cuba memecah masuk sebuah banglo di Taman Saujana Impian milik seorang jurutera pada 3.15 pagi, namun gagal selepas alat penggera berbunyi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, susulan itu pemilik rumah terus menghubungi polis sebelum sepasukan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digerakkan bagi memburu suspek.

Menurutnya, polis dapat mengesan lima suspek berada di kawasan Sungai Sekamat sebelum mereka bertindak menyerang polis dengan menggunakan parang.

"Beberapa das tembakan telah dilepaskan bagi mempertahankan diri menyebabkan empat penjenayah mati di lokasi kejadian.

"Manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri namun pihak kami percaya suspek mengalami kecederaan selepas terkena tembakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sehubungan itu, gerakan memburu seorang lagi suspek sedang giat dijalankan dengan dibantu anjing pengesan K9 di sekitar lokasi kejadian.

"Pihak kami ingin memaklumkan kepada orang ramai, pihak hospital atau mana-mana klinik supaya menghubungi polis sekiranya ada individu yang cedera mahu mendapatkan rawatan.

"Setakat ini pihak polis tidak dapat memastikan identiti suspek berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui. Suspek dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 30-an,"katanya.