Video Pukul PATI: Pegawai Imigresen Ditukar Serta-Merta



PUTRAJAYA: Didakwa melakukan kekerasan terhadap tahanan warga asing, seorang Pegawai Imigresen wanita telah ditukarkan serta-merta dari Unit Penguatkuasa ke Unit Pentadbiran, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Sakib Kusmi berkata penukaran pegawai itu adalah sementara menunggu hasil siasatan penuh kes tersebut.

Beliau berkata pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci berhubung video pegawai wanita itu yang telah menjadi viral di media sosial baru-baru ini.

"Jika hasil siasatan mendapati pegawai tersebut terbukti bersalah kerana telah melanggar peraturan sebagai penjawat awam, jabatan ini tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan and Tatatertib) Pindaan 2002," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Video rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) itu didedahkan MyWatch baru-baru ini dan memaparkan wanita itu bertindak kasar ke atas seorang lelaki yang ditahan dipercayai tidak mempunyai permit kerja yang sah.