Team B UMNO Kembali Bersama Tun Mahathir



KUALA LUMPUR: Team B UMNO yang dahulunya dikenali sebagai Semangat 46 kini kembali selepas dibubarkan pada tahun 1996 tetapi tidak lagi menggunakan nama tersebut. Diterajui oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, manakala Team B UMNO ditubuhkan untuk menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada ketika itu menjawat jawatan presiden parti.

Dengan matlamat sama, Team B UMNO yang kini diterajui secara langsung oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal serta disokong oleh Dr Mahathir sendiri sungguhpun beliau sudah meninggalkan UMNO penghujung Februari lalu.

Datuk Seri Mukhriz mengumumkan kembali penubuhan Team B UMNO menerusi akaun twitter beliau dengan memuatnaik poster menjemput orang ramai untuk menghadiri sesi ceramah 'Bicara Isu-Isu Semasa: Selamatkan Malaysia' yang akan berlangsung hari ini.

Ceramah tersebut yang akan berlangsung di Jitra, Kedah akan menampilkan Dr Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz sendiri Sejarah Team B UMNO menyaksikan hampir 50 peratus ahli UMNO menolak kepimpinan Dr Mahathir sebagai presiden ditunjukkan pada Pemilihan UMNO 1987 apabila bekas Perdana Menteri itu hanya menang tipis, lebih 41 undi berbanding pencabar jawatan Presiden, Tengku Razaleigh. Selain dianggotai oleh orang kuat UMNO seperti Tun Musa Hitam, Tan Sri Dr Rais Yatim, Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Team B UMNO turut mendapat mandat dua bekas Perdana Menteri iaitu, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn menyokong penentangan terhadap Dr Mahathir.

 Mengulas mengenai cabaran sebagai Perdana Menteri, Najib berkata beliau akan kekal menggalas tugas tersebut selagimana diberi mandat untuk memimpin parti dan negara sepertimana Dr Mahathir tempuhi sewaktu dicabar Team B suatu masa dahulu.

 “Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan Umno, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli Umno suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, ‘walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri’. Oh hebat dia jawab.

 "Saya antara yang menyokong dia. Dia (Mahathir) kekal menjadi perdana menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita tak sokong pemimpin menghadapi ujian, Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi perdana menteri," kata Najib.