Rancangan dalamkan Sungai Pahang September ini



Rancangan untuk mendalamkan Sungai Pahang dijangka bermula pada September ini dan akan disiapkan dalam tempoh dua tahun, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Beliau berkata kerajaan negeri sehingga kini masih lagi menunggu kelulusan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas menyerahkan kertas kerja rancangan itu pada tahun lalu.

“Rancangan untuk mendalamkan Sungai Pahang tetap akan dijalankan dan buat masa ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawal Selia Air Pahang meninjau situasi semasa sungai berkenaan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Muhammad Safian juga menafikan dakwaan bahawa paras Sungai Pahang kritikal akibat pembalakan, sebaliknya berkata kejadian itu adalah disebabkan fenomena El-Nino yang sedang melanda negara.

“Laporan daripada JPS ada menyatakan keadaan Sungai Pahang sekarang adalah disebabkan kemarau dan kawasan yang tiada pembalakan juga mengalami masalah sama,” katanya