Penyamun duit masjid kena cekup



Dua remaja yang sering mencuri duit dari tabung masjid di sekitar Arau, Kangar dan Padang Besar akhirnya dicekup.

Dengan tertangkapnya remaja tersebut yang berumur 17 dan 19 tahun, polis dapat menyelesaikan 13 kes pecah dan curi duit tabung masjid yang dilakukan sejak Januari lepas.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisional Noor Mushar Muhammad berkata, kedua mereka ditahan berasingan pada 21 April dan 27 April di kediaman mereka di Chuping.

Dipercayai mereka telah melakukan enam kes di Arau, tiga di Kangar dan empat di Padang Besar yang keseluruhan membabitkan kerugian kira-kira RM5,000, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka juga dikesan mengambil syabu.

Noor Mushar berkata, antara masjid yang menjadi sasaran ialah Masjid Gial Mata Ayer, Masjid Kampung Oran, Masjid Guar Gajah, Masjid Kok Klang, Masjid Kubang Gajah dan Masjid Ngulang di Arau; Masjid Putra, Masjid Abi dan Masjid Kuala Perlis di Kangar dan Masjid Bukit Keteri, Masjid Batu Bertangkup, Masjid Chuping dan Masjid Kubang Perun di Padang Besar.

"Kita percaya sebelum melakukan aktiviti ini, mereka membuat perancangan terlebih dahulu di waktu siang, mereka akan datang kembali ke masjid sekitar jam 1 hingga 5 pagi dengan menaiki motosikal sebelum bertindak memecahkan tabung masjid dan melarikan diri dengan wang tabung yang diletak di ruang solat.

“Kita turut merampas sebuah motosikal, tiga batang tukul kuku kambing, dua batang pemutar skru, empat batang paku panjang, sebuah playar pemotong dawai, gam dan satu pita pelekat daripada mereka," katanya. Kedua-duanya kini direman hingga 2 Mei untuk disiasat kerana mencuri.