Pemandu Teksi Parah Ditetak Dibawah Jambatan



GEORGETOWN:Seorang pemandu teksi parah ditetak oleh tiga lelaki di bawah jejantas di Lebuh Raya Bandar Cassia, Batu Kawan malam tadi.

N. Arumugam, 58, cedera di lengan kiri akibat tetakan yang mengenai tulang lengannya sehingga menyebabkan ototnya terkoyak dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafie Mamat memberitahu dalam kenyataannya, ketika kejadian pemandu teksi berkenaan membawa seorang penumpang untuk dihantar ke kawasan kilang di Batu Kawan.

"Penumpang berkenaan meminta pemandu teksi tersebut memberhentikan teksinya di bawah jejantas kerana penumpang itu dikatakan hendak menghisap rokok.

"Ketika itulah mereka dihampiri dua motosikal yang dinaiki tiga lelaki bersenjatakan parang yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, penumpang berkenaan sempat melarikan diri manakala pemandu itu terpaksa bergelut dengan tiga lelaki tersebut.

Pemandu teksi itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.