Semak Semula Gaji Minimum Dalam Tempoh Dua Tahun



Pelaksanaan skim gaji minimum iaitu sebanyak RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Labuan, Sabah dan Sarawak bermula 1 Julai ini akan dikaji dan disemak semula dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, proses semakan itu adalah penting dan perlu dilakukan bagi memastikan gaji yang diterima adalah bersesuaian dan relevan dengan tempoh masa itu.

"Lepas dua tahun kita akan lihat dan duduk semeja bersama majikan, pekerja dan kerajaan melalui Jawatankuasa Penyelaras Gaji Kebangsaan (ILO) bagi melihat semula kadar gaji berkenaan," katanya.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Maran berkata demikian selepas Program Ziarah Parlimen Maran di sini, hari ini.

Beliau menambah, pelaksanaan gaji minimum perlu dibuat secara adil dengan penglibatan semua pihak iaitu majikan, pekerja dan kerajaan supaya keputusan yang dibuat dapat diterima semua.

Ismail juga mengingatkan majikan untuk mematuhi pelaksanaan skim itu bermula Julai ini dan meminta agar pekerja yang tidak menerima gaji minimum yang telah ditetapkan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

"Mana-mana majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun dan didenda RM1,000 sehari jika masih terus melakukan kesalahan itu," katanya.