Mahathir Ulangi Gesaan Najib Letak Jawatan



JITRA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi lagi gesaan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Beliau berkata, gesaan itu perlu dibuat segera susulan kegagalan Najib menyelesaikan banyak isu berbangkit termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kehilangan wang berbilion ringgit.

“Kalau dia (Najib) tak digugurkan sekarang, saya yakin (BN) akan hancur dalam PRU14. Najib akan kalah, BN akan kalah dan Umno akan kalah. Apa yang akan jadi selepas itu, sama-samalah kita lihat.

“Tapi kalau kita dapat gugurkan Najib sekarang, mungkin parti yang terbesar dalam Dewan dapat memilih pemimpin baru yang tidak mengulangi apa yang dilakukan Najib,” katanya pada program bicara isu-isu semasa Selamatkan Malaysia (Team B Umno) di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, di sini, malam semalam.

Menurut beliau lagi, parti keramat yang banyak berjasa itu juga kelihatan sudah tidak lagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

“Kenapa saya tinggalkan Umno? Pepatah Melayu kata,kalau sayangkan anak, tangan-tangankan; sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan. Tapi saya juga tinggalkan Umno kerana sayang.

“Saya melihat Umno hari ini bergerak hanya untuk mempertahankan presidennya walaupun membuat benda yang salah. Mereka membisu kerana mungkin sudah disuap dedak ke dalam mulut mereka,” katanya.

Menurut Tun Mahathir, Umno yang dahulu memperjuangkan agama, bangsa dan negara sudah tidak lagi mengamalkan demokratik sebaliknya hanya untuk menyokong presiden parti dan perdana menteri.

“Melihat keadaan ini bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan bangsa kita, saya tidak dapat lagi kekal dalam Umno. Sebab itu saya keluar Umno. Kita dapati Umno sekarang seolah-olah bisu dan tak boleh bercakap, bahkah dengar pun tak boleh.

“Dia percaya dengan duit boleh buat apa saja dan rakyat akan sokong kalau dia bagi duit. Sebab itu kita lihat dia ada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) RM500 setahun. Mungkin bagi sesetengah orang RM500 itu besar, tapi kebanyakan yang terima lebih RM500,” katanya.