Lemas ketika memancing di tasik



Seorang lelaki yang bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Jejawi ditemukan lemas dipercayai akibat tergelincir ketika sedang memancing di Taman Rekreasi Tasik Melati,Kangar Perlis di sini petang tadi.

Mayat Nurul Haadie Shaharan,32, yang berasal dari Taman Muhibbah, Jejawi di sini ditemukan pada 7 malam tadi oleh orang awam yang berkunjung ke tasik itu untuk melakukan aktiviti riadah sempena hari cuti hari ini.

Penolong Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Kangar, Abdul Rahim Baharom berkata berdasarkan maklumat dari orang awam mangsa dijumpai terapung dekat tepi semak di tasik itu dalam keadaan meniarap.

"Bomba menerima maklumat mengenai kejadian ini pada jam 6.35 petang daripada pihak polis yang diberitahu melalui panggilan telefon oleh orang awam yang melaporkan dia telah terjumpa seorang lelaki mati lemas di tasik berkenaan.

"Sejurus mendapat maklumat, seramai 10 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian termasuk lima anggota dari unit skuba balai bomba Kangar untuk mengesan mangsa dan operasi tamat sebaik mangsa berjaya dikesan pada jam 7.16 malam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Abdul Rahim berkata, kejadian lemas di taman rekreasi itu adalah merupakan kes pertama yang pernah berlaku dan penemuan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir ketika memancing kerana tiada unsur-unsur jenayah mahupun kecederaan fizikal dikesan.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.