Empat rakyat Malaysia mangsa culik di Ligitan masih hidup



Empat rakyat Malaysia yang telah diculik oleh lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, 1 April lalu disahkan masih hidup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, buat masa ini pihaknya masih mengambil segala langkah termasuk meneruskan rundingan dengan pihak berkuasa Filipina dalam usaha membebaskan semua mangsa tersebut.

“Seperti yang saya telah beritahu sebelum ini, saya tidak akan memberi sebarang maklumbalas berhubung kejadian tersebut. Tapi saya ingin nyatakan di sini bahawa kita telah mengambil segala langkah yang perlu dalam kita mendapatkan kebebasan mangsa.

"Kita telah bekerjasama dengan pihak polis, tentera termasuk kerajaan Filipina dan kita terus berkolaborasi dengan mereka," katanya pada majlis PDRM bersama rakyat di Masjid Darul Ibadah, Batu Kawa di sini hari ini.

Empat mangsa rakyat Malaysia yang diculik itu adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Kesemua mangsa tersebut adalah antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Khalid sebelum ini berkata berkata bahawa pihaknya mempunyai maklumat risikan tentang mengapa empat rakyat Malaysia itu menjadi sasaran penculik, namun beliau enggan mendedahkannya secara terperinci bagi menjaga keselamatan mereka.