Cubaan Terjun Jambatan Pulau Pinang Gagal



PERAI - Pasukan Bomba dan Penyelamat telah berjaya memujuk seorang wanita dari terjun Jambatan Pulau Pinang, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, wanita berusia 56 tahun itu dilihat berdiri di tepi jambatan sambil memegang bes pengadang dan mengugut mahu terjun ke dalam laut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu, wanita berkenaan yang masih bujang dan mengalami tekanan perasaan sejak beberapa bulan lalu telah berhenti di laluan kecemasan jambatan itu sebelum meluru ke tepi jambatan.

Difahamkan, abang dan rakan wanita itu cuba memujuknya namun gagal dan mereka menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Lebih dua jam ahli keluarga wanita ini cuba memujuk namun dia terus mengugut mahu terjun.Kita mengawal keadaan dan memujuk, akhirnya wanita ini berjaya diselamatkan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya lagi, wanita berkenaan berada dalam keadaan trauma namun telah ditenangkan oleh anggota bomba sebelum dia dibawa dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.