Cubaan bunuh anggota Komando

Cubaan bunuh anggota Komando

Seorang lelaki yang dipercayai anggota komando berpangkat koperal dari Rejimen 11 Gerak Khas Kem Sungai Udang di sini telah ditemui dalam keadaan tangan kanan bergari pada kaki kirinya. Mangsa hampir lemas dalam Sungai Timun, Negeri Sembilan pagi tadi.

Laporan awal mengatakan lelaki berkenaan ditemui di dalam sebuah sungai dalam keadaan tangan kanan bergari pada kaki kiri, manakala mukanya didapati mengalami kecederaan teruk.

Difahamkan, mangsa bernasib baik kerana ditemui penduduk kampung sebelum kelemasan di dalam sungai itu.

Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dari Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka berkata, pihaknya ada menerima maklumat berikutan kejadian.

"Walau bagaimanapun sehingga jam 6 petang ini, belum ada sesiapa membuat laporan dan jika ada laporan dibuat, pihak polis akan membuka kertas siasatan," katanya.

Beliau juga menasihati agar pihak yang terbabit segera membuat laporan di balai polis.