Cemas pintu helikopter terbuka di udara



MUKAH: "Ini adalah kali kedua saya mengalami situasi mencemaskan ketika menaiki helikopter, namun saya tabahkan hati dan bertenang selain percaya sepenuhnya bahawa juruterbang dapat menangani keadaan dengan baik," kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim, ketika menceritakan situasi cemas apabila pintu helikopter yang dinaikinya terbuka ketika di udara.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, Rohani yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sedang dalam penerbangan dari Sibu ke Kampung Igan untuk menghadiri majlis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.

Turut bersama Rohani dalam helikopter berkenaan, Setiausaha Sulit Kanannya, Reza Rizvy, Setiausaha Akhbar, Kam Kamaruddin dan Pegawai Khas, Mohd Rashiman Rasit. Rohani berkata, pengalaman pertama hampir 20 tahun lalu membuatkan beliau lebih tenang menghadapi situasi itu.

"Kali pertama saya mengalami situasi itu ketika bersama Datin Paduka Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi lama dahulu.

"Ketika itu, perasaan saya memang cemas tidak terkata apabila terpaksa menahan pintu helikopter ketika berada tinggi di udara dan hari ini kejadian sama berlaku lagi, namun kali ini saya lebih tenang," katanya ketika ditemui selepas membantu calon Barisan Nasional (BN) Abdul Yakub Arbi berkempen di Kampung Lintang, Balingian.

Rohani berkata juruterbang helikopter itu cuba membuat pendaratan cemas, namun beliau mahu penerbangan diteruskan.

"Saya bertawakal dan yakin kami sampai ke destinasi dengan selamat sambil Reza terpaksa menahan pintu itu kira-kira 10 minit sehingga mendarat.