Bumbung Rumah Diterbangkan Ribut



KUALA NERANG - Sepasang suami isteri dari Kampung Pisang, Mukim Padang Terap Kiri, di sini terkejut apabila bumbung rumah mereka diterbangkan ribut dalam satu kejadian petang kelmarin.

Abd Khalid Saad, 55, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah dan secara tiba-tiba angin kuat datang.

"Sebelum itu saya ada terdengar bunyi dentuman kuat dan bumbung rumah dah diterbangkan angin sejauh 15 meter dari halaman rumah.

"Nasib baik masa kejadian tak ada orang di situ, kalau tidak pasti akan terkena bumbung yang diterbangkan ribut," katanya.

"Menurut abd Khalid, ketika kejadian isterinya, Rosmani Shaari, 52, masih berada di dalam rumah.

"Isteri saya sembunyi di dapur kerana takut dengan angin kuat itu. Mujur dia tak ada apa-apa.

"Selepas keadaan kembali reda, saya periksa rumah dan dapati keseluruhan peralatan di tingkat atas basah. Nasib baik tak hujan, kalau tak mesti lebih banyak peralatan elektrik di tingkat atas rosak," katanya.

Seorang lagi mangsa, Awang Kechik Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian hujan renyai dan dia sempat melihat atap bumbung genting rumahnya terangkat tiga kali sebelum diterbangkan angin.

"Waktu itu saya sempat ambil tangga dan tali untuk ikat bumbung pada alang kayu, tapi tiba-tiba bumbung itu terus diangkat angin hingga merosakkan beberapa bumbung genting walaupun tidak diterbangkan," katanya.

Sebanyak 18 rumah mengalami kerosakan iaitu sembilan di Kampung Padang Nyior, empat di pondok PakTeh, masing-masing dua rumah di Kampung Tanjung Padang Terap Kiri dan sebuah di Kampung Lubok Labidalam kejadian ribut kelmarin.