Baru dua minggu lepas jumpa arwah abang



Alidin Jamaludin, adik kepada anggota polis yang ditemui mati dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, di sini hari ini merasa terkilan kerana hanya dapat bertemu abangnya sekejap dua minggu lepas.

Alidin, 30, berkata dia hanya sempat menemui Allahyarham abangnya, Roydin, 32, untuk masa yang singkat ketika Allahyarham mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di bandar ini kerana sakit kaki.

"Tidak banyak perkara yang sempat kami bualkan ketika itu kerana saya tahu dia sering sibuk dengan urusan kerja," katanya.

Beliau ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini hari ini.

Alidin yang bekerja di sebuah kilang papan berkata, dia mengetahui berita kematian abangnya pada pukul 10.20 pagi tadi daripada kakaknya lalu terus bergegas ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti jenazah.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya lihat mayat abang saya telah dibawa naik dari parit dan terdapat kesan luka pada badannya," katanya.

Katanya, Allahyarham Roydin meninggalkan seorang isteri, Viani Lukin dan dua anak lelaki masing-masing berumur lapan dan enam tahun.

Jenazah abangnya mungkin akan diterbangkan ke Sabah esok dan akan dikebumikan di Telaga Pitas, Kudat.

"Ibu bapa saya akan menunggu di kampung dan saya dimaklumkan urusan penghantaran jenazah akan diuruskan oleh pihak polis," katanya.

Terdahulu, mayat Roydin yang berpakaian biasa ditemui di dalam parit berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi dengan terdapat kesan luka pada tubuhnya.