3,262 Kes Demam Denggi, Catat Satu Kematian



Sebanyak 3,262 kes demam denggi telah dicatatkan di daerah ini untuk tempoh empat bulan pertama dengan satu kematian.

Menyedari tingginya jumlah berkenaan, Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini telah mengadakan operasi cegah denggi di Taman Klang Utama yang merupakan antara kawasan yang merekodkan jumlah kes demam denggi yang tertinggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, sebanyak 26 kes demam denggi direkodkan di taman perumahan berkenaan bagi tempoh awal tahun ini sehingga Isnin lepas.

"Oleh itu kami mengadakan operasi cegah denggi di sini untuk mengelakkan daripada tempat ini terus menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu di sini, hari ini.

Katanya, dalam operasi selama empat jam bermula pukul 8 pagi itu, pihaknya memeriksa empat kawasan yang disyaki menjadi tumpuan pembiakan nyamuk Aedes, antaranya tapak projek perumahan terbengkalai, kebun kecil, rumah dan tapak pembuangan sampah haram.

"Dalam operasi hari ini sebanyak tiga notis dikeluarkan kerana premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Mengikut notis ini pemilik premis diberi tempoh selama tujuh hari untuk membersihkan premis masing-masing bagi mengelakkan daripada dikenakan kompaun," katanya.